6 calon pengganti Moyes di Old Trafford

 1) LOUIS VAN GAAL

Jurulatih pasukan kebangsaan Belanda, Louis van Gaal akan melepaskan jawatannya selepas berakhirnya Piala Dunia FIFA 2014 Brazil. Beliau dilaporkan bakal menggantikan Tim Sherwood di Spurs namun jika terdapat tawaran dari Old Trafford, pastinya White Hart Lane pasti akan dilupakannya.

Selain menguruskan pasukan kebangsaan, van Gaal pernah melatih Ajax, Barcelona, Az Alkmaar dan Bayern Munich. Beliau memenangi tiga kejuaraan liga, satu trofi Piala UEFA, dan satu medal kejuaraan Liga Juara Juara ketika bersama Ajax.

Di Barca, beliau mencatatkan dua kejuaraan liga dan satu trofi Piala Sepanyol. Paling manis, ketika melatih pasukan bawahan Liga Eridevise, Az, beliau berjaya membawa pasukan itu menjadi juara liga pada musim 2008-09.

Seterusnya, jurulatih berbangsa Belanda itu mengemudi Bayern Munich meraih kejuaraan berganda, Bundesliga dan Piala Jerman dan membawa kelab itu ke pentas akhir Liga Juara Juara sebelum tewas kepada pasukan Jose Mourinho, Inter Milan.

Dengan mengamalkan corak total football dan rekod cemerlang yang dimilikinya, penyokong United pastinya tidak mahu melihat van Gaal ke White Hart Lane.

2) DIEGO SIMEONE

Diklasifikasikan satu pertaruhan apabila nama Diego Simeone disebut namun apa yang dilakukannya di Atletico membuatkan namanya wajar berada dalam senarai ini. Mendapatkan saingan dari dua gergasi La Liga, Barcelona dan Real Madrid, Simeone melakukan tugasan dengan baik meletakkan skuadnya di kedudukan teratas, diikuti Barca di tangga kedua, dan Madrid ketiga.

Simeone telah tampil lebih 100 kali buat Argentina dan beraksi di tiga Piala Dunia (1994, 1998 dan 2002). Menyentuh aspek kejurulatihan, beliau bermula di Amerika Selatan bersama Racing, Estudiantes, River Plates, San Lorenzo, Catania dan Racing.

Sehingga kini (31 Mac 2014), Atletico dibawah Simeone berjaya mencatat 90 kemenangan dari 137 perlawanan.

Dengan bersandarkan rekod 66% kemenangan sejak bersama Atletico pada 2011, tidak hairanlah mengada lagenda Atletico ini muncul antara calon utama pengganti Moyes di Old Trafford.

3) ANTONIO CONTE

Antara halangan untuk mendapatkannya adalah kerana beliau kini membimbing Juventus. Walaupun The Old Lady memapamerkan aksi hambar dalam kempen Liga Juara Juara musim ini, Conte berjaya mengubah mentaliti pasukan bagi mengekalkan momentum kemenangan musim ini.

Conte memulakan karier kejurulatihan di kelab Serie A dan B seperti Arezzo, Bari, Atalanta, dan Siena sebelum diberikan tugas mengendalikan Juventus pada Mei 2011.

Beliau memenangi liga pada cubaan pertamanya dengan mencatatkan rekod tanpa kalah semusim dan berjaya mengekalkan kejuaraan pada musim berikutnya dan mencatat rekod baru kutipan mata terbanyak semusim kelab.

Conte dikaitkan dengan Jose Mourinho dengan kebijaksanaan taktikan dan kemampuan menyatukan pemain. Bagaimanapun, perbezaan beliau dengan pengurus Chelsea itu adalah falsafah bola sepak yang dibawanya, corak menyerang.

Mungkin pengurus seperti inilah yang diperlukan United yang mahukan Mourinho versi menyerang ke kelab gergasi Manchester itu.

4) CESARE PRANDELLI

Pengendali skuad kebangsaan Itali ini berjaya mengemudi pasukannya melangkah ke perlawanan akhir Piala Eropah (Euro) 2012. Beliau berjaya mengembalikan keyakinan terhadap skuad Itali, malah rekod beliau bersama kelab juga boleh dibanggakan.

Pernah melatih beberapa kelab seperti Atalanta, Lecce, Verona, Venezia, Parma dan Roma namun kejayaan cemerlang dicatat beliau adalah ketika bersama Ac Fiorentina. Beliau berjaya menyelamatkan Viola dari zon penyingkiran dan membawa pasukan itu layak ke Liga Juara Juara selepas menamatkan kempen di tempat keempat.

Agak malang bagi Prandelli apabila pasukannya didapati terlibat dengan skandal pengaturan perlawanan, menyaksikan tempat ke Eropah dibatalkan dan ditolak 15 mata untuk musim berikutnya.

Apa yang menariknya, walaupun ditolak 15 mata pada musim itu, Prandelli masih mampu tersenyum apabila menamatkan kempen di tempat keenam, sama mata dengan pasukan di tangga kelima. Mungkin mengendalikan kelab adalah lebih baik untuk Prandelli.

5) JURGEN KLOPP

Pengurus Borussia Dortmund, Jurgen Klopp mungkin pilihan sempurna buat United. Rekodnya bersama pasukan hitam-kuning itu menakjubkan, menang dua kejuaraan Bundesliga (2011, 2012), dan pelbagai piala (DFB-Pokal dan DFL-Supercup (dua kali)).

Beliau dianugerahkan Pengurus Terbaik Tahunan Jerman pada 2011 dan 2012 dan membawa Dortmund ke perlawanan akhir Liga Juara Juara. Menariknya, kejayaan tersebut hadir ketika Dortmund ditempat dalam 'kumpulan maut' (Manchester City, Real Madrid dan Ajax) malah berjaya mencatatkan rekod tanpa kalah kumpulan itu.

Berjaya menewaskan Real Madrid di separuh akhir namun kurang bernasib baik apabila kecundang di perlawanan akhir, gol minit ke-89 oleh Arjen Robben menghalang mimpi indah Klopp.

Dengan Dortmund secara konsisten menjual pemain utama mereka setiap musim, beberapa pemain seperti Marco Reus dan Ilkay Gundogan mungkin menyertai Klopp di United dan beliau adalah calon terbaik buat United!

6) SIR ALEX FERGUSON

Mungkin agak sukar menerima kepulangan Sir Alex dari persaraan namun kita harus berfikir di luar kotak, sama ada anda penyokong United atau tidak. Persoalannya, perlukah Fergie kembali untuk menyelamatkan pasukannya?