KELAYAKAN PIALA DUNIA: MALAYSIA KE PUSINGAN KEDUA


Skuad Harimau Malaya berjaya ke pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia Zon Asia selepas tewas 2-3 kepada tuan rumah, Taiwan menerusi peraturan gol tempat lawan. Terdahulu, di Bukit Jalil, Malaysia menewaskan Taiwan 2-1. Menanti Malaysia di pusingan berikutnya adalah negara jiran, Singapura.

Dalam perlawanan sebentar tadi, Malaysia kurang bernasib baik apabila beberapa cubaa gagal menemui sentuhan penyudah. Malaysia mendahului menerusi sepakan percuma cantik dari jarak 40 ela Aidil Zafuan yang terkena palang sebelum melantun masuk untuk gol pendahuluan. Tidak lama selepas itu, Taiwan bangkit menyamakan kedudukan hasil kesilapan Sharbinee Alawee yang gagal menangkap kemas gerakan dari sepakan penjuru.

LAYAK... Malaysia layak ke pusingan kedua walaupun tewas kepada Taiwan.
Namun, semangat juang Harimau Malaya tidak luntur apabila sekali lagi mendahului Taiwan. Kali ini, giliran kapten pasukan, Safiq Rahim menjaringkan sepakan percuma mengelirukan penjaga gol Taiwan. Sikap sambil  lewa pasukan dibawa ke Taiwan apabila Mahali Jasuli yang kehilangan bola menjatuh penyerang Taiwan untuk berikan penalti kepada lawan untuk menyamakan kedudukan, 2-2.

Bermula separuh masa kedua, perlawanan dilihat seimbang namun kesilapan Mohd Fadhli Shas menarik penyerang Taiwan membawa padah apabila pengadil menghadiahkan penalti kedua Taiwan. Kali ini, Sharbinee muncul penyelamat selepas berjaya menampan bola dan mengekalkan kelebihan satu gol Malaysia.

AIDIL... sepakan percuma menariknya bantu Malaysia menempah pertemuan dengan Singapura.
Namun, pengadil sekali lagi bermurah hati menghadiahkan penalti kepada Taiwan selepas mendakwa Sharbinee menjatuhkan pemain Taiwan. Ulang tayang menunjukkan pemain Taiwan sendiri melanggar tangan Sharbinee sebelum jatuh. Pemain berpengkalan di Eropah, Xavier mudah menyempurnakan penalti untuk memberikan gol kemenangan Taiwan. Selepas itu, Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan untuk layak ke pusingan seterusnya. Tahniah Harimau Malaya!