Piala Emas Raja-raja: Melaka tundukkan Selangor di Shah Alam


Berbekalkan keazaman menjulang nama negeri dalam arena bola sepak tempatan, pasukan bola sepak Piala Emas Raja Raja Melaka menciptakan senario berbeza disebalik kesuraman Liga FAM musim lalu. Bermula dengan kejayaan menewaskan Kelantan dan Perlis diperingkat kumpulan sebelum barisan simpanan tunduk kepada skuad Warga Kota, skuad Hang Tuah ini tidak menoleh ke belakang lagi. 

Terbaru, kejayaan menundukkan ego Gergasi Merah Kuning, Selangor di bumi lawan. Satu kejayaan diluar petak pemikiran kita. Namun, pemain Melaka membuktikan tiada apa yang mustahil. Dengan perubahan lokasi dan tarikh perlawanan, itu sedikitpun tidak memberikan gangguan psikologi kepada pemain.

Malah, sebuah kemenangan yang diimpikan berjaya diilhamkan buat peminat yang dahagakan kejayaan.

Di Stadium UiTM Shah Alam pada 3 Disember lalu, pasukan Melaka yang dibantu lagenda, Ching Hong Aik terlalu kental buat pasukan Selangor. Aksi pasukan mendapat sokongan sebelas komrad Ultras Taming Sari (UTS), pemain skuad Bawah 16 Tahun Melaka dan beberapa pegawai Mafa di kawasan tempat duduk utama stadium. Tidak kurang juga beberapa penyokong datang puluhan batu dari Melaka atas tanda sokongan yang tidak berbelah-bagi kepada pasukan.

Sebaik sepak mula separuh masa pertama bermula, Melaka dilihat lebih banyak menguasai perlawanan terutama bahagian tengah sambil kekentalan gandingan pertahanan tengah nyata memberi masalah kepada Selangor.

Agak merisaukan apabila menyaksikan penjaga gol Melaka kelihatan gugup apabila berhadapan situasi lorongan bola yang dilakukan pemain Selangor kerana jarang mendapat bola. 

Serangan demi serangan Melaka berhasil apabila penyerang, Mohd Nazmee Mohd Arie berjaya menjaringkan gol menerusi rembatan deras berhampiran kotak penalti sekaligus memberikan pendahuluan buat skuad Hang Tuah. Selepas jaringan itu, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan Melaka lebih banyak menguasai barisan tengah. Tamat separuh masa pertama, Melaka mendahului 1-0 di Shah Alam.


Bermula babak kedua, Selangor cuba menggandakan asakan namun kehebatan penjaga gol Melaka terserlah dengan menyelamatkan dua peluang 'wajib gol' Selangor. Perlawanan dihentikan pada minit ke-50 separuh masa kedua kerana faktor cuaca.

Selepas lebih sejam ditangguh, perlawanan disambung semula. Selangor dilihat ghairah mencari gol penyamaan. Serangan demi serangan Selangor akhirnya berhasil apabila serangan balas pantas mereka berjaya memperdaya pertahanan Melaka sebelum mudah menewaskan penjaga gol Melaka.

Semangat kepahlawanan Melaka nyata membakar semangat pemain Melaka. Enggan menyerah kalah, Melaka cuba menggandakan asakan tetapi kekurangan penyudah nyata memberi masalah kepada pasukan sehingga berlakunya pertembungan antara penjaring terbanyak Melaka, Nazmee dan penjaga gol Selangor. Nazmee terpaksa dikeluarkan akibat insiden terbabit. 

Bermula dengan jaringan gol dibatalkan kerana peyerang berada pada kedudukan offside (sebenarnya tidak) hinggalah keputusan yang mula berat sebelah nyata memberikan tekanan kepada pemain mahupun penyokong.

Hasilnya, Melaka berjaya memperolehi gol kedua menerusi gerakan cantik pemain berjersi nombor 10 dari sayap kanan. Tertekan dengan jaringan itu, ada pemain Selangor cuba membantah jaringan itu kerana penyerang dan juga kapten Melaka berada dalam posisi offside. Namun, keputusan pengadil muktamad dan pemain itu diberikan kad kuning kedua, menyebabkannya dibuang padang.


Kelebihan beraksi dengan 11 pemain dimanfaatkan sebaik mungkin pasukan Melaka apabila berjaya menambah satu lagi gol ketika moral pasukan Selangor mula merudum. Bekalan selesa ini nyata seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pasukan Melaka apabila beraksi di Stadium Hang Tuah Sabtu ini.

Semoga pasukan Piala Emas Raja Raja Melaka ini akan melangkah lebih jauh dalam kejohanan ini sekaligus mengharumkan nama pasukan di persada bola sepak tempatan. Keputusan penuh, Selangor 1-3 Melaka.