MELAKA KE SEPARUH AKHIR PIALA EMAS RAJA RAJA 2011


Pasukan bukan pilihan, Melaka, meneruskan rentak konsisten dalam kejohanan Piala Emas Raja Raja 2011 apabila menumbangkan gergasi Lembah Kelang, Selangor 2-0 di Stadium Hang Tuah petang semalam sekaligus menempah slot ke separuh akhir menerusi agregate 5-1.

Pujian harus diberikan kepada pegawai Mafa apabila sekali lagi berjaya menipu penyokong apabila perlawanan dimulakan setengah jam awal dari yang ditetapkan. Mengikut jadual, perlawanan sepatutnya dimulakan pada 4.45 petang namun atas faktor tidak mahu 'rahsia' mereka diketahui penyokong, perlawanan diadakan pada 4.15 petang.

Berbekalkan kelebihan defisit dua gol, Melaka dilihat lebih banyak menguasai setengah jam perlawanan yang membuatkan Selangor lebih banyak berlegar di kawasan sendiri. Pada minit ke-33 Melaka memperolehi sepakan penalti selepas pemain sayap Melaka dijatuhkan pertahanan lawan. Namun, Melaka mempersia-siakan peluang menjarakkan defisit gol apabila gagal menyempurnakan penalti dimana sepakan yang diambil terkena palang gol.

SERANG... antara aksi membabitkan Melaka dan Selangor di Stadium Hang Tuah semalam.
Tersentak dengan penalti Melaka, Selangor cuba mengatur serangan dan pada minit ke-39, Gergasi Merah Kuning ini dihadiahkan sepakan penalti namun penjaga gol Melaka bertindak cemerlang menafikan gol sulung Selangor apabila berjaya menampan menggunakan kaki walaupun telah menjatuhkan badannya.

Kegagalan menyempurnakan penalti, Selangor sekali lagi mencemaskan pertahanan Melaka menerusi sepakan percuma namun tepat ke dakapan penjaga gol. Melaka memperolehi gol kedua menerusi serangan balas pantas apabila penjaring terbanyak Melaka, Nazmee berjaya menajaringkan gol cantik menerusi kuisan bertenaga dari luar kotak penalti tatkala penjaga gol lawan sudah terkeluar dari posisinya. Sedikit pergaduhan kecil berlaku ketika masa kecederaan separuh masa tetapi pengadil berjaya mengawal perlawanan dengan baik.

Bermula separuh masa kedua, Selangor menerima tamparan hebat apabila pertahanan mereka dibuang padang pada minit ke-47 selepas menerima dua kad kuning dalam masa satu minit, satu kerana terjahan kerasnya dan satu lagi kerana membantah keputusan pengadil. Bukan Ching Hong Aik tidak ajar pemain muda, salahkan Mohan yang menetapkannya. Kelebihan beraksi dengan seorang pemain tidak digunakan sebaik mungkin apabila Selangor hampir memperolehi gol sulung tetapi Melaka bernasib baik apabila penyerang Selangor telahpun berada dalam kedudukan offside.

BERSAHAJA... kelebihan beraksi lebih tiga pemain tidak digunakan sebaik mungkin oleh Melaka.
Selangor terus malang apabila seorang lagi pemain dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua pada minit ke-63. Agak memalukan apabila kapten Selangor berjersi nombor lapan menunjukkan isyarat lucah (sama seperti yang dilakukan Luis Suarez kepada penyokong Fulham) kepada penyokong Melaka.

Menyakitkan hati apabila melihat aksi pemain Melaka yang bagi diarahkan supaya tidak menyerang apabila perlawanan menjadi hambar setengah berikutnya. Hanya mahu mengaburi mata penyokong, jurulatih Melaka melakukan pertukaran dengan memasukan penyerang dengan mengeluarkan pemain tengah namun, tiada sebarang sepakan ke arah gol dilakukan walaupun berkelebihan dua pemain. 

Minit ke-82, Selangor bermain sembilan pemain apabila pertahanan mereka dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua. Pengadil hampir memalukan diri sendiri apabila terlupa memberikan kad merah tetapi tidak penjaga garisan. Bermain kelebihan dua pemain dan tiada serangan yang dilakukan sambil kapten yang juga penyerang mengarahkan anak buahnya supaya tidak melakukan seranga sambil juruatih duduk bersandar di bangku simpanan. Tamat perlawanan, Melaka 2-0 Selangor. 

Aksi separuh akhir selepas ini adalah Melaka akan bertemu pasukan pilihan, Kedah di sana sebelum beraksi di Stadium Hang Tuah minggu berikutnya. Semoga pasukan Melaka akan berjaya mengeksploitasi sang Kenari di tempat lawan dan berjaya membawa bekalan selesa ke Melaka. Ayuh sama-sama berikan sokongan kepada pasukan kesayangan kita. Gegau Melaka Gegau!

SEPARUH AKHIR PIALA EMAS RAJA RAJA 2011

KEDAH lwn MELAKA
17 Disember 2011

MELAKA lwn KEDAH
24 Disember 2011

* Jadual tertakluk kepada perubahan.