Apa sudah jadi? Itulah persoalan yang timbul dibenak penyokong Harimau Malaya apabila pulang hampa selepas anak buah K. Rajagobal tewas kepada Vietnam, 0-2 di Shah Alam. Gol-gol Vietnam dijaringkan oleh Le Cong Vinh pada minit ke-32 dan Pham Thanh Hung sejurus selepas babak kedua bersambung.
Skrip sama masih diungkapkan Rajagobal apabila mempertahankan tindakannya menguji pemain walhal pada perlawanan berstatus A, Malaysia seharusnya mempergunakan kesempatan ini bagi memperbaiki ranking semasa kerana Vietnam berada 10 anak tangga lebih baik, di tangga ke-146 berbanding Malaysia, 156.
Bukan hendak memperlekehkan keupayaan Rajagobal tetapi mahu mengingatkan jurulatih kebangsaan ini supaya harus peka dengan situasi semasa kerana Kejohanan Piala Suzuki AFF kian tiba. Waktu menguji pemain sepatutnya dilakukan ketika aksi persahabatan menentang pasukan di Liga Malaysia, bukan di perlawanan berstatus 'A'.
Dalam aksi di Stadium Shah Alam, Vietnam dilihat menguasai hampir keseluruhan perlawanan dengan hantaran-hantaran pendek yang menjerat pertahanan Malaysia walhal Rajagobal terus menggunakan corak hantaran jauh yang 'memenatkan' penyerang untuk mengejar bola di padang licin dan basah.
Asakan bertali-arus Vietnam berhasil apabila kealpaan pemain sayap, Christie Jayaseelan yang melepaskan bola mudah memberikan Vietnam serangan balas pantas dimana Lee Cong Venh berjaya menanduk masuk hantaran lintang rakan sepasukan.
Berbeza dengan Vietnam, jentera tengah Malaysia, Safiq Rahim dan Gary Steven Robbat dilihat kelemasan ditewaskan oleh hantaran satu dua menarik pemain tengah Vietnam. Manakan tidak, cubaan tepat ke arah gol hanya dapat Malaysia lakukan di separuh masa pertama hadir pada minit ke-39, satu statistik yang harus direnungkan-renungkan Rajagobal jika mahu mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF.
Vietnam menambah gol kedua tiga minit selepas babak kedua bersambung menerusi Phan Thanh Hung. Kemasukan penyerang sensasi, Safee Sali, S.Kunanlan dan Badrrol Bakhtiar sedikit sebanyak mengubah corak permainan Malaysia namun anak buah Rajagobal terus kebuntuan jaringan.
Jadi, apa lagi yang perlu dilakukan Rajagobal selepas ini? Adakah beliau akan terus menggunakan media untuk memberitahu peminat lebih awal bahawa dia mahu menguji pemain menentang Kemboja nanti? Atau meletakkan skuad 'bayangan' Piala Suzuki AFF bagi memperbaiki rangking Harimau Malaya.
Ingatlah wahai Rajagobal, rangking melambangkan maruah sesebuah pasukan. Ia akan membantu menaikkan lagi status sesebuah negara itu serta meningkatkan lagi taraf liga sesebuah negara. Rakyat Malaysia mahukan lebih ramai anak Malaysia bermain di Eropah tanpa risaukan isu permit seperti Safee Sali. Bertindak atau goyang kaki melihat bagaiman menjunamnya rangking Malaysia ke taraf terendah, mungkin bersama Timur Leste ataupun negara kepulauan di Amerika!

Social Plugin