ahmadsmyusof@gmail.com
TINGGAL KENANGAN... aksi konsisten Nazmi bersama pasukan remaja Beira Mar harus diberikan pujian. Foto: Goal |
Kisah kepulangan pemain muda sensasi negara, Nazmi Faiz Mansor menjadi topik hangat baik di media cetak mahupun media elektronik. Pelbagai persoalan yang timbul apabila anak muda kelahiran ibu kota ini bertekad kembali beraksi di sini berbanding beraksi untuk pasukan remaja kelab Liga Sagres, S.C Beira Mar.
Pelbagai reaksi yang diterima dari peminat bola sepak tanahair termasuk jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee dan jurulatih penjaga gol, Kris Yong Wai Hwang. Baik yang menyokong dan ada yang mengkritik. Namun, yang menimbulkan persoalannya, mengapa Nazmi bertindak menamatkan kontraknya secara persetujuan bersama (mutual consent)?
KECEWA... Ong Kim Swee kurang senang dengan tindakan Nazmi pulang ke Malaysia. Foto: NST |
Penamatan kontrak secara mutual consent biasanya berlaku apabila kedua-dua belah pihak bersetuju untuk menamatkan kontrak lebih awal dari tempohnya. Seperti yang kita sedia maklum, S.C Beira Mar mempunyai masalah kewangan yang meruncing dan ia memaksa kelab itu lebih berjimat dalam berbelanja. Natijahnya, menurut laporan beberapa portal, bapa Nazmi,Mansor Mustapha mendakwa anaknya hanya dibayar 500 euro sepanjang 7 bulan 4 hari berada di sana.
Lebih malang lagi, menurut laporan, Nazmi terpaksa menumpang di rumah rakan sepasukan kerana gagal membayar sewa rumah. Jika laporan ini benar, dimana peranan ejenya dalam menyelesaikan isu ini dan mengapa Nazmi dijadikan 'kambing hitam' oleh S.C Beira Mar sedangkan gaji untuk pemain remaja jauh lebih rendah berbanding pemain pasukan utama?
Persoalan ini turut ditimbulkan oleh penulis dan pengkritik, Rizal Hashim menerusi blognya Malaysian Sports Loose Cannon yang turut mempersoalkan peranan ejen dalam perkembangan karier seseorang pemain bola sepak. Ejen Nazmi, Marco Guimaraes yang berdaftar di Singapura dilihat lebih menonjol dalam setiap sidang media walhal ejen terkenal seperti Mino Raiola yang menguruskan bintang seperti Zlatan Ibrahimovic dan Mario Balotelli tidak melakukan tindakan seperti yang dilakukan Guimaraes.
GUIMARAES... dilapor banyak mempengaruhi keputusan yang dilakukan Nazmi. Foto: Twicsy |
Contohnya, wartawan Berita Harian, Saiful Affendy Safran yang menghadiri sidang media memperkenalkan Nazmi oleh PKNS FC menerusi penulisannya agak kurang senang dengan tindakan Guimaraes. Cubaan wartawan untuk mendapatkan punca sebenar kepulangan Nazmi sering sahaja dipintas ejen terbabit. Malah Guimaraes dilihat sengaja menghalang Nazmi dari membuka mulut mengenai S.C Beira Mar.
"Selepas ini kami perlu berbincang dengan ejen yang lebih jujur untuk membantu pembangunan bola sepak negara."
Ong Kim Swee, Berita Harian 3 Februari 2013.
Kenyataan Ong Kim Swee itu jelas menunjukkan faktor ejen menjadi salah satu punca kepulangan Nazmi ke Malaysia. Kenyataan ini turut disokong jurulatih penjaga gol Harimau Muda A, Kris Yong Wai Hwang menerusi akaun Facebooknya, yang turut mempersoalkan bagaimana kenyataan yang bercanggah dikeluarkan S.C Beira Mar dan Nazmi. Jurulatih ini turut mempersoalkan kredibiliti Guimaraes dalam membantu Nazmi meneruskan karier di Portugal.
PULANG KE GAGANG... Nazmi sertai pasukan kesayangannya sejak kecil, PKNS FC. Foto: Goal |
Turut diutarakan adalah isu mengapa PKNS FC perlu membayar sejumlah wang pampasan kepada S.C Beira Mar seperti yang dinyatakan Presiden PKNS FC, Noor Hisham Mohd Gouth. Bagi pemain yang ditamatkan kontraknya secara mutual consent, adalah tidak perlu untuk kelab barunya untuk membayar pampasan kepada kelab lama. Ini kerana Nazmi bukanlah produk S.C Beira Mar tetapi dia adalah produk kelahiran Harimau Muda A.
Sejujurnya, sehari sebelum pengumuman kembalinya Nazmi ke Malaysia, penulis ada membaca tulisan Nazmi Faiz di akaun Twitternya yang menyatakan dia bengang dengan kekasihnya. Nazmi dilihat bengang apabila mendapat laporan dari sumber rapat mengatakan kekasihnya ada hubungan sulit dengan pemain bola sepak Darul Takzim FC.
Penulis ada memberikan komen semula atas kenyataan yang dikeluarkan Nazmi kerana menyangka akaun Twitternya digodam. Tiada balasan dari pemain muda berusia 18 tahun ini malah dia kemudiannya memadam kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan sebelum itu. Menguatkan lagi spekulasi, rakan-rakan sepelatih di turut memberikan komen simpati terhadap nasib Nazmi. Apakah ini juga salah satu punca kepulangan Nazmi ke tanahair?
Social Plugin